“Jangan Simpan Baki Ubat Demam Dalam Peti Sejuk” - Penjelasan Ahli Farmasi Ini Memang Mengejutkan!



Perlukah simpan ubat demam dalam peti ais? 

Balik rumah nanti, cuba buka peti sejuk. Periksa ada tak kita simpan ubat demam (paracetamol), ubat selsema ataupun ubat batuk dalam peti sejuk? Mesti ada kan? Terutamanya bagi yang berkeluarga atau yang mempunyai anak kecil, pasti ada simpan sekurang-kurangnya satu botol ubat demam atau baki ubat demam yang pernah digunakan sebelum ini.

Ubat demam yang saya maksudkan ialah apa-apa jenis ubat yang mengandungi bahan ‘paracetamol’. Ada banyak jenis jenama ubat demam yang mengandungi paracetamol. Antaranya, Panadol, Axcel Paracetamol, Fepril, Uphamol dan Kidz PCM.

Biasanya selepas kita mengambil ubat demam (cecair) dari klinik atau farmasi, bila balik rumah kita terus simpan ubat demam ini dalam peti sejuk dengan anggapan ia akan tahan lebih lama seperti makanan lain. Kemudian selepas anak kita sudah sembuh, ubat demam yang masih ada baki itu disimpan lama dalam peti sejuk. Iyalah, manalah tahu boleh dimakan semula jika anak demam. Kalau terus dibuang, rasa macam membazir pula kan?

Persoalannya, berapa lama kita boleh simpan ubat demam ini setelah dibuka? Adakah ia boleh disimpan sehingga tiba tarikh luputnya?

Sebenarnya ubat-ubat demam dalam bentuk cecair di Malaysia telah dibotolkan atau dipack sesuai untuk sekali penggunaan untuk seorang pesakit. Sebotol ubat demam, biasanya mengandungi 60ml – 100ml ubat sahaja. Contohnya ubat demam yang mengandungi 60ml, jika diambil 5 ml untuk 4 kali sehari, ubat ini sepatutnya habis dalam masa tiga hari. Dan biasanya demam juga akan sembuh dalam masa tiga hari. Jadi, ubat demam ini tidak perlulah disimpan.

Jika masih ada ubat demam berbaki selepas digunakan, ubat ini masih boleh disimpan selepas dibuka bagi tempoh 1-2 bulan mengikut jenis ubat. Tetapi jika kita mahu menyimpan ubat demam untuk kegunaan masa akan datang, sebaik-baiknya dapatkan ubat demam yang baru dan belum dibuka dari farmasi. Setelah beli, simpanlah di tempat yang kering, bukannya peti sejuk.

Apabila anak kita demam, gunakanlah ubat yang baru. Jangan ambil baki ubat demam yang sudah lama, yang kita juga tidak pasti bila tarikh pertama kita buka atau gunakan.

Ubat yang telah dibotolkan di kilang ubat biasanya diisi dengan udara yang bersih ataupun nitrogen. Apabila dibuka, nitrogen atau udara bersih akan terkeluar dan udara biasa akan masuk ke dalam botol. Udara biasa ini mengandungi wap air, fungi dan juga bakteria.

Cecair ubat dicampur dengan bahan pengawet atau preservatives seperti methyl paraben dan propylparaben untuk mencegah pembiakan bakteria di dalamnya. Tetapi apabila kita menyimpan ubat yang telah dibuka di dalam peti sejuk, suhu peti sejuk boleh menyebabkan wap air terbentuk di dalam botol melalui proses kondensasi.

Wap air yang terbentuk ini tidak mengandungi bahan pengawet dan bakteri atau fungi boleh membiak di dalamnya. Wap air yang banyak kemudian turutn dan bercampur dengan cecair ubat di dalam botol.

Kita menyangka ubat demam yang disimpan dalam peti sejuk akan bertahan lebih lama. Sebaliknya tindakan itu mempercepatkan pembiakan bakteria dan merosakkan ubat tersebut.

Jadi, jika mahu menyimpan ubat demam sebagai spare di rumah, belilah ubat demam yang baru dan simpan tanpa membukanya terlebih dahulu. Buang sahaja baki ubat demam jika anak kita sudah sembuh daripada demam. Tidak perlu simpan baki ubat demam dalam peti sejuk berbulan-bulan atau bertahun-tahun sehingga tiba tarikh luputnya. – Rahman Baco, Pharmacist

No comments

Powered by Blogger.