Pemain Bola TERCANTIK Tetap Ayu Bila Beraksi Dipadang



Kota Bharu: Siapa sangka disebalik kelembutan dan kecantikan wajah, seorang penuntut sebuah kolej, di sini, aktif bermain bola sepak, malah mewakili Kelantan sejak tahun lalu.
Ketangkasan penuntut Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kampus Kota Bharu Nur Syahindah Mohd Kamal, 20, menggelecek bola memberi kelebihan kepadanya untuk menyertai pasukan bola sepak wanita negeri.
Katanya, dia mula meminati sukan itu ketika di bangku sekolah rendah, namun dipendamkan sebelum minatnya bercambah selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tiga tahun lalu.
“Selepas SPM, saya bersama rakan-rakan aktif bermain futsal di sekitar Kota Bharu sebelum memasuki kolej ini.
“Di kolej, peluang semakin banyak apabila saya dilantik sebagai ahli jawatankuasa futsal dan menganjurkan banyak kejohanan peringkat kolej.
“Pada awal Disember tahun lalu, saya menerima pesanan WhatsApp daripada pengurusan bola sepak wanita Kelantan yang menawarkan peluang untuk menjadi pemain mereka.
“Tanpa berfikir panjang, saya mencuba dan menjalani latihan, malah lulus ujian sebanyak tiga kali,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dia yang mempunyai kakak kembar, Nur Syakirah berkata, bapanya, Mohd Kamal Hassim, 48, yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej dan ibunya, Norazma Ahmad, 45, suri rumah, memberi sokongan yang kuat.
Tinggal di Kampung Pintu Geng, di sini, Nur Syahindah berkata, ibu bapa memahami minatnya dan tidak menghalang asalkan dia mengutamakan pelajaran.
“Saya membahagikan masa sewajarnya antara pendidikan dengan bola sepak kerana tidak mahu memusnahkan harapan ibu bapa.
“Saya menetapkan jadual belajar dan mengikutnya kerana mahu berjaya dalam kedua-dua bidang,” katanya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu juga mengakui risau apabila gambarnya yang sedang bermain bola sepak menjadi tular di laman sosial Facebook beberapa hari lalu, namun berharap ia tidak menghilangkan fokusnya untuk belajar dan menjadi pemain profesional.
Sementara itu, Pengarah KPTM Kota Bharu Mohd Sahidi Yaakob berkata, pihaknya menyokong minat penuntut berkenaan dan bangga kerana dia terpilih sebagai pemain bola sepak wanita Kelantan.
“Pihak kolej juga memberi sokongan kepada semua penuntut supaya aktif dalam apa jua bidang yang akan membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Setakat ini, kolej memiliki pasukan bola sepak lelaki dan kemungkinan selepas ini akan mewujudkan pesukan wanita jika ramai yang berminat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.