Lelaki Ini Bakal Jadi Jutawan Selepas Jumpa Muntah Paus 60 KG


Muscat: Seorang nelayan di Oman bakal menjadi jutawan selepas dia berjaya menemukan longgokan besar ambergris atau muntah ikan paus ketika dia menangkap ikan di pesisir pantai negara itu.

Bahan berwarna kelabu seperti lilin itu adalah hasil sampingan sistem penghadaman paus sperma yang digelar 'emas terapung'.

Harga bahan itu amatlah mahal dan menjadi buruan syarikat pengeluar minyak wangi kerana ia boleh memberi reaksi kimia yang menjadikan wangian kekal lama.

Khalid Al Sinani menemui longgokan muntah paus seberat 60 kilo itu ketika memeriksa jalanya di luar pantai Qurayat.


Pakar berkata, muntah ikan boleh dijual dengan harga lebih RM11 juta.

“Saya dalam pelayaran pulang apabila terhidu bau sangat busuk tidak jauh dari bot saya. Apabila memeriksanya, saya nampak selonggok besar bahan terapung di air. Saya menggunakan tali untuk menariknya. Beratnya lebih 60 kilogram sedangkan bot saya hanya enam meter panjang.”, kata Khalid kepada meda tempatan.

Difahamkan, Khalid kini sudah merancang untuk berhenti menjadi nelayan dan mahu hidup mewah.

Selain itu, dia juga sudah menolak tawaran sebuah syarikat pembuat minyak wangi tempatan yang mahu membeli muntah paus itu pada harga RM61,100 sekilo.

Dia memberitahu akhbar Shabiba: “Impian saya menjadi kenyataan. Saya menanti saat ini sejak 20 tahun lalu apabila mula menjadi nelayan bersama bapa.”

Ambergris terbentuk dalam usus paus sperma untuk melindungi sistem penghadamannya daripada objek tajam seperti muncung sotong yang ditelannya ketika makan.

Ia sama ada dimuntahkan atau dikeluarkan menerusi sistem penghadaman dan akan terapung di laut atau dibawa ombak ke pantai. 

No comments

Powered by Blogger.