Darah Jamal 'Tumpah' di Ampang Sebentar Tadi. Di Tumbuk di Hidung Ketika Cuba Merempuh Polis
Pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos berdarah pada hidungnya selepas dia didakwa diserang dan ditumbuk dalam kejadian di Ampang hari ini.
Kejadian berlaku ketika Jamal bersama pengikutnya mengekori Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah Ampang Point.
Sejurus kemudian berlaku pergelutan dan ketika itulah muka Jamal didakwa ditumbuk pihak tidak diketahui.
Anggota kumpulan Baju Merah kemudian bergelut pula dengan beberapa anggota polis yang menyekat laluan keluar. Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka ditahan.
Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu dan memberitahu beliau akan bertindak balas.
"Saya tak puas hati. Saya akan kejar mereka lebih dari apa saya umumkan (terhadap BERSIH sebelum ini).
"Saya akan cincang mereka," katanya.
Jamal dikenali sebagai pimpinan utama Baju Merah yang giat menyaingi kempen BERSIH menjelang perhimpunan di Kuala Lumpur pada Sabtu depan.
Selain memberi amaran untuk berkumpul beramai-ramai bersama BERSIH, sejak beberapa hari lalu kumpulan berkenaan mempamerkan kekuatan mereka dalam seni bela diri, termasuk ketika mengadakan protes berhampiran pejabat Malaysiakini pada 5 November lalu.
Beberapa klip video yang tersebar di media sosial pula menunjukkan beberapa individu - termasuk Jamal sendiri - menunjukkan kemampuan mereka menahan pukulan serta serangan fizikal melalui seni bela diri.
Sementara itu Zuraida ketika dihubungi berkata beliau tidak tahu menahu mengenai mengenai serangan ke atas Jamal.
"Saya mengelak daripada dia, jadi saya tak tahu apa yang terjadi. Saya akan bercakap dengan orang saya dan bertanya kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Post a Comment